
Laporan/foto: Mastura Mohamed Rowther/Shamsul Bahari Abd Shukor
BERTAM, 10 MAC (MalaysiaAktif) – Usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keselamatan dalam talian terus dipergiat apabila Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menganjurkan program Kempen Internet Selamat (KIS) @ Bazar Ramadan di Bazar Ramadan Bertam Putra, Sabtu lepas.
Program berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif KIS yang sedang dilaksanakan bagi mendidik orang ramai mengenai penggunaan internet dan media sosial secara berhemah serta selamat.
Kempen berkenaan menyasarkan golongan ibu bapa, remaja dan kanak-kanak dengan penyampaian maklumat mengenai risiko dalam talian seperti penipuan siber, penyebaran maklumat palsu serta ancaman keselamatan digital.
Seorang pengunjung bazar, Mohd Shuaimi Mohd Noor, 49, berkata usaha kerajaan melalui MCMC itu amat wajar dalam memastikan masyarakat lebih peka terhadap keselamatan ketika menggunakan media sosial.
“Dengan penggunaan internet yang semakin meluas, kempen seperti ini sangat penting untuk memberi kesedaran kepada masyarakat supaya lebih berhati-hati ketika melayari media sosial dan internet,” katanya ketika ditemui di lokasi program, Sabtu lepas.

Muhammed Khalil Ramadhan, berkata inisiatif Kempen Internet Selamat perlu mendapat sokongan semua pihak bagi memastikan mesej yang disampaikan memberi kesan kepada masyarakat
Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Muhammed Khalil Ramadhan Mohd Jais, 21, berkata inisiatif KIS perlu mendapat sokongan semua pihak bagi memastikan mesej yang disampaikan dapat memberi kesan kepada masyarakat.
“Kempen seperti ini sangat membantu ibu bapa untuk lebih memahami cara melindungi anak-anak daripada risiko di internet,” katanya.
Program KIS dijangka terus dilaksanakan di pelbagai lokasi tumpuan orang ramai sebagai usaha berterusan kerajaan dalam membudayakan penggunaan internet yang lebih selamat dan bertanggungjawab dalam kalangan rakyat.
-AA-





