
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)
JOHOR BAHRU, 28 Mac (MalaysiaAktif) – Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Johor melaksanakan hukuman Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) siri ketiga secara serentak terhadap lima individu yang disabitkan kesalahan membuang sampah kecil di tempat awam.

Jafni berkata hukuman selama dua jam itu dilaksanakan selaras dengan peruntukan Seksyen 778(1), Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 [Akta 672].
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Dato’ Mohd Jafni Md Shukor berkata kesemua pesalah menjalankan kerja pembersihan kawasan pantai termasuk menyapu jalan di bawah pemantauan pegawai penguat kuasa SWCorp.
“Kesemua pesalah telah menyempurnakan sesi dua jam aktiviti pembersihan awam di bawah pengawasan pegawai penguat kuasa SWCorp.
“Baki tempoh hukuman PKM perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan selaras dengan perintah mahkamah,” katanya ketika ditemui selepas sesi pemantauan pelaksanaan hukuman itu, di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah SWCorp Negeri Johor Zainal Fitri Ahmad berkata setakat ini sebanyak 142 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) telah dikeluarkan di negeri ini atas kesalahan membuang sampah kecil di tempat awam, melibatkan 84 warganegara Malaysia dan 58 warganegara asing.
Beliau berkata sebanyak tujuh kes telah selesai didakwa di mahkamah dengan jumlah keseluruhan denda RM4,500 serta hukuman PKM antara empat hingga lapan jam bagi setiap individu.
“Jumlah ini membuktikan SWCorp tegas dan konsisten dalam melaksanakan penguatkuasaan berterusan bagi membanteras amalan membuang sampah di tempat awam.

Semua pesalah selesai menjalani dua jam pembersihan awam di bawah pengawasan pegawai penguat kuasa SWCorp.
“Pengeluaran 142 NPK ini jelas menunjukkan SWCorp tidak berkompromi terhadap sebarang kesalahan kebersihan,” katanya.
Menurutnya, operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan pematuhan undang-undang serta memupuk masyarakat yang lebih berdisiplin dan bertanggungjawab.
Zainal turut menegaskan bahawa kesalahan membuang sampah di tempat awam boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 atau PKM sehingga enam bulan, manakala ketidakpatuhan terhadap arahan PKM boleh membawa kepada denda maksimum RM10,000.
-RI





