
Laporan/foto: Zaini Morshidi/Sa’adi Pasong (Sibu)
SIBU, 10 Mac (MalaysiaAktif) – Hasrat memudahkan bakal jemaah membuat persiapan ke Tanah Suci menjadi inspirasi kepada penubuhan Medina & Co, sebuah pusat sehenti yang menyediakan pelbagai keperluan ibadah Haji dan Umrah di bandar ini.
Pengasasnya Ts. Abang Fairul Syarmil, 38, berkata idea menubuhkan premis tersebut tercetus daripada pengalaman peribadi beliau bersama isterinya yang menghadapi kesukaran mendapatkan kelengkapan ibadah secara lengkap di Sibu.
“Kami terpaksa berulang-alik ke Kuching dan beberapa lokasi lain bagi mendapatkan barangan keperluan Umrah, sekali gus mendorong saya menubuhkan sebuah pusat yang memudahkan bakal jemaah mendapatkan kelengkapan ibadah di satu tempat,” katanya ketika ditemui MalaysiaAktif di sini, hari ini.

Abang Fairul berkata idea penubuhan premis tersebut tercetus bagi memudahkan bakal jemaah membuat persiapan menunaikan ibadah umrah dan haji.
Medina & Co dibuka secara rasmi pada 21 Jan 2024 sebagai inisiatif menyediakan pelbagai kelengkapan ibadah di bawah satu bumbung kepada bakal jemaah di sekitar Sibu.
“Nama Medina & Co dipilih bukan sekadar identiti perniagaan, malah melambangkan ketenangan dan kedamaian yang dirasai ketika berada di Kota Madinah Al-Munawwarah,” katanya.
Menurutnya, nama tersebut turut diabadikan sempena nama anaknya Dayang Nurqhayra Medina sebagai simbol kasih sayang dan legasi keluarga dalam perniagaan tersebut.
Kini perniagaan tersebut diuruskan oleh adiknya Dayang Faiqah Syazana Abang Mohammad, 28, yang memastikan setiap barangan seperti pakaian ihram, sejadah serta minyak wangi Arab dipilih dengan teliti bagi memenuhi keperluan jemaah.

Dayang Faiqah menunjukkan pakaian muslimin dan muslimah yang terdapat di Medina & Co..
Medina & Co turut menawarkan kemudahan pembelian melalui Local Purchase Order (LPO) bagi memudahkan sekolah, jabatan kerajaan serta agensi berkaitan membuat perolehan barangan secara rasmi.
Kehadiran pusat sehenti ini bukan sahaja memudahkan bakal jemaah membuat persiapan ibadah, malah memberi nilai tambah kepada perkembangan ekonomi setempat melalui inisiatif keusahawanan tempatan.
-RJ-





