
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)
SRI AMAN, 10 Mac (MalaysiaAktif) — Hasil ekonomi di Nanga Skrang yang berteraskan pertanian akan lebih mudah dipasarkan selepas ini menerusi rancangan pembinaan jalan baharu dari Jambatan Batang Lupar 2 ke kawasan berkenaan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Francis Harden Hollis berkata pembinaan jalan itu bakal menjadi pemangkin utama melalui penyediaan akses perhubungan yang lebih baik.
“Perancangan pembangunan ini memfokuskan kepada peningkatan pendapatan rakyat menerusi sinergi bersama agensi teknikal seperti Jabatan Pertanian Sarawak dan Lembaga Nanas Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi perjumpaan bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) protem Kampung Nanga Skrang, di sini semalam.
Sementara itu, Tuai Rumah Romeneo Tugang berkata infrastruktur itu bakal mengubah landskap kehidupan penduduk.
Menurut beliau, kawasan Nanga Skrang sebelum ini hanya dapat dihubungi melalui laluan sungai yang memakan masa.
“Kemudahan akses jalan yang baik ini bukan sahaja memudahkan pergerakan penduduk, malah akan memacu pertumbuhan ekonomi berasaskan pertanian memandangkan hasil kebun dapat dipasarkan dengan lebih efisien,” katanya lagi.
-RJ-






