Skip to main content
Berita TempatanSarawak

PAKK Serian Perkukuh Sistem Perlindungan Golongan Cilik di Serian

By 5 Mac 2026Tiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Priscilla Kathy Paul (Sarawak)

SERIAN, 5 Mac (MalaysiaAktif) – Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) Serian memulakan operasi tahun ini sebagai langkah proaktif memperkukuh sistem perlindungan kanak-kanak di daerah tersebut.

Ditubuhkan di bawah Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak (PPKK), pusat ini bertujuan menyediakan mekanisme pencegahan yang lebih sistematik terhadap kes penganiayaan dan pengabaian.

Ia juga berfungsi sebagai pusat sokongan serta memantau kebajikan kanak-kanak yang berdepan risiko persekitaran tidak selamat.

Pengerusi PAKK Serian, Dr. Diana Law Suk Chin berkata fungsi utama pusat ini adalah sebagai hab advokasi dan pendidikan untuk masyarakat setempat.

“Pelbagai aktiviti pencegahan dan pembangunan telah dirangka bagi memastikan penglibatan kanak-kanak memberi impak positif kepada tumbesaran mereka. Program seperti ceramah dan kursus pendek akan memberi pendedahan mengenai hak kanak-kanak serta tanggungjawab penjagaan yang betul,” katanya kepada Malaysia Aktif, hari ini.

Bagi menyokong keperluan pendidikan, PAKK turut dilengkapi dengan kemudahan termasuk komputer dan bahan rujukan komprehensif untuk kegunaan kanak-kanak sebelum atau selepas waktu persekolahan.

Diana berharap kewujudan PAKK ini dapat memberi manfaat jangka panjang dalam membina komuniti yang lebih prihatin terhadap keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak.

-FN

Tinggalkan komen anda