Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

RM9.83 Juta Zakat Perniagaan Disumbang, 537 Asnaf Terima Bantuan

By 5 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Manjasari Shamsudin (Sepang)

SEPANG, 5 Mac (MalaysiaAktif) – Sumbangan zakat perniagaan berjumlah RM9,837,200 diserahkan oleh beberapa syarikat korporat dan institusi pendidikan kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dalam Majlis Berbuka Puasa DYMM Sultan Selangor bersama Rakyat serta Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya 1447H peringkat daerah Sepang di Masjid Raja Haji Fisabilillah, Cyberjaya, semalam.

Antara penyumbang utama ialah Pintas Utama Sdn. Bhd sebanyak RM3,000,000, diikuti Malaysia Airports Holdings Berhad (RM2,400,000) serta MAHSA University (RM1,320,000).

Turut menunaikan zakat perniagaan ialah Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd dengan sumbangan RM1,117,200, manakala Lembaga Jurukur Tanah dan Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad masing-masing menyumbang RM1,000,000.

Dalam majlis sama, seramai 537 asnaf yang terdiri daripada 338 fakir, 45 miskin dan 154 mualaf turut menerima sumbangan Hari Raya berjumlah RM500 seorang, menjadikan keseluruhan agihan sebanyak RM268,500.

Sumbangan disampaikan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah yang berkenan berangkat ke majlis berkenaan bagi menyantuni golongan memerlukan sempena Ramadan dan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Selain itu, baginda turut berkenan menerima Cek Cura Wakaf Korporat daripada Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Subang Jaya dan Majlis Perbandaran Sepang yang masing-masing menyumbang RM50,000.

Baginda juga menyempurnakan penyerahan wakaf klinik bergerak (Mobile Eye Care) bernilai RM419,000 daripada Wakaf Selangor Muamalat kepada MSU Universiti.

Dalam usaha memperkasa pendidikan anak kariah, Multimedia University dan University of Cyberjaya turut menyerahkan sumbangan biasiswa dan pembiayaan pendidikan berjumlah lebih RM2 juta kepada pelajar yang layak.

Hadir sama Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari dan Ahli Parlimen Sepang Datuk Aiman Athirah Sabu.

-FN

Tinggalkan komen anda