Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Penenun Roban Teruskan Warisan Pua Kumbu Bernilai Tinggi

By 13 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Jane Chua/Remy Pisep (Saratok)

ROBAN, 13 Mac (MalaysiaAktif) – Seni tenunan pua kumbu terus dipelihara oleh penenun tempatan Connie Daut dari Rumah Panjang Mawat, Bratong Atas di sini sebagai usaha mengekalkan warisan budaya masyarakat Iban yang sarat nilai estetika dan sejarah.

Connie, 58, berkata proses penghasilan pua kumbu secara tradisional perlu terus dipelihara bagi memastikan seni tenunan tersebut diwarisi oleh generasi akan datang.

Beliau yang berpengalaman lebih 15 tahun dalam bidang tenunan menitikberatkan penggunaan bahan semula jadi bagi menghasilkan warna benang yang berkualiti.

Sokongan padu suami menjadi dorongan utama membolehkan Connie menghasilkan pelbagai pua kumbu yang bukan sahaja mengekalkan warisan Iban tetapi berpotensi menjadi sumber ekonomi bernilai tinggi.

Antara bahan yang digunakan termasuk akar pokok mengkudu, pokok engkerembai dan tumbuhan hutan lain yang diproses bagi menghasilkan warna yang menyerlah pada setiap tenunan.

“Setiap helai pua kumbu menampilkan motif yang mempunyai maksud dan simbolik tersendiri,” katanya ketika ditemui MalaysiaAktif kelmarin.

Menurutnya, motif tersebut menggabungkan elemen tradisional dan kontemporari tanpa menjejaskan keaslian seni tenunan berkenaan.

Beliau berkata pua kumbu bukan sahaja dihargai sebagai warisan budaya malah boleh dijadikan pakaian, beg serta aksesori moden yang menggabungkan keindahan tradisional dengan gaya masa kini.

Tambahnya, seni tenunan itu juga berpotensi sebagai sumber ekonomi yang mampu menjana pendapatan kepada komuniti setempat.

Bagi memastikan kesinambungan warisan tersebut, Connie turut membuka kelas menenun kepada masyarakat yang berminat selain memasarkan produknya di kedai kraf tangan, secara dalam talian serta melalui pameran festival kebudayaan.

-RJ-

Tinggalkan komen anda