
Laporan/Foto: Salleh Immun (Mukah)
MUKAH, 9 Mac (MalaysiaAktif) – Pengguna di Mukah digalakkan menggunakan aplikasi eCOSS ketika membeli minyak masak peket bersubsidi satu kilogram (1 kg) bagi memastikan pengagihan subsidi lebih telus dan tersusun.
Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Mukah, Salihin Den berkata eCOSS merupakan sistem rasmi kementerian yang merekod, memantau dan mengawal jualan minyak masak bersubsidi dari peringkat kilang, pemborong dan peruncit sehingga kepada pengguna.
Menurutnya, sistem tersebut membantu kerajaan memantau rantaian bekalan secara lebih sistematik sekali gus mengurangkan risiko ketirisan serta penyelewengan subsidi.
“Setiap transaksi direkodkan secara digital dan boleh dipantau dengan lebih jelas oleh pihak kerajaan,” katanya kepada MalaysiaAktif, hari ini.
Pelaksanaan eCOSS bermula sebagai program rintis pada Mei 2025 melalui Jualan RAHMAH di Putrajaya sebelum diperluaskan ke beberapa negeri.

Pengguna digalakkan menggunakan aplikasi e-COSS apabila membeli minyak peket di pasaraya atau kedai yang menjualnya.
Salihin berkata penggunaan eCOSS bertujuan memastikan subsidi hanya dinikmati rakyat Malaysia yang layak melalui pengesahan identiti menggunakan MyKad.
Beberapa pasar raya dan kedai runcit di Mukah kini telah mula menggunakan aplikasi tersebut dan menerima sambutan menggalakkan daripada pengguna serta peniaga.
-RJ-





