
Laporan/foto: Ahmad Noramin (GSPI Perak)
IPOH, 9 Mac (MalaysiaAktif) – Program Bazar Raya NADI 2026 yang berlangsung di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Kampung Dato’ Ahmad Said Tambahan 2, di sini semalam berjaya menghimpunkan komuniti setempat menerusi pelbagai aktiviti ekonomi dan kemasyarakatan.

Muhammad Kamil mencuba perkhidmatan yang disediakan di NADI sambil diiringi pegawai yang memberi penerangan ringkas mengenai kemudahan NADI Kampung Dato’ Ahmad Said Tambahan 2.
Program anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) itu dirasmikan Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim.
Turut hadir Ketua Bahagian NADI SKMM Dr Mohd Arif Adenan dan Pengarah SKMM Negeri Perak Mohd Irwan Mohamed.
Program bertujuan merapatkan hubungan komuniti setempat di samping memberi peluang kepada usahawan tempatan memasarkan produk sempena sambutan Aidilfitri yang bakal tiba, selain menyediakan pelbagai aktiviti yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Antara pengisian utama termasuk Jualan Produk Hari Raya Usahawan NADI, Jualan Rahmah MADANI, Jualan Agro MADANI, serta pameran dan perkhidmatan pelbagai jabatan serta agensi kerajaan.
Turut disediakan ialah kemudahan NADI on Wheels (NOW), kaunter pembayaran zakat dan saringan asas kesihatan untuk pengunjung.
Bagi menarik penyertaan golongan belia, program itu turut menganjurkan Pertandingan E-Sukan MADANI yang menampilkan permainan popular Mobile Legends: Bang Bang, selain permainan FIFA dan Car Racing Simulator.
Seorang pengunjung, Ahmad Firdaus, 28, menyifatkan program tersebut sebagai platform yang sangat bermanfaat kerana membolehkan penduduk membeli barangan keperluan raya pada harga berpatutan.

Pengunjung daripada pelbagai lapisan umur mula mendaftar seawal jam 8.00 pagi di kaunter pendaftaran untuk mendapatkan kupon baucer dan menyertai cabutan nombor bertuah.
“Program ini sangat meriah dan saya juga tertarik dengan aktiviti e-sukan yang dianjurkan kerana ia mampu menarik minat golongan muda untuk bersama-sama komuniti,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Nur Aisyah Rahman, 35, berkata inisiatif tersebut membantu usahawan kecil mempromosikan produk mereka kepada pasaran yang lebih luas.
“Saya rasa program ini bagus kerana bukan sahaja ada jualan Rahmah, tetapi juga banyak perkhidmatan agensi kerajaan disediakan yang memudahkan urusan orang ramai,” katanya.
Secara keseluruhannya, Bazar Raya NADI 2026 bukan sahaja berjaya menyemarakkan suasana harmoni komuniti, malah memberi impak positif dari aspek ekonomi, sosial dan teknologi kepada penduduk setempat.
-RI





