Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Pengurus Syarikat Kitar Semula Dipenjara, Syarikat Didenda RM270,000

By 31 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)/JAS Johor

SEGAMAT, 31 Mac (MalaysiaAktif) – Mahkamah Sesyen Segamat, di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara sehari terhadap pengurus sebuah syarikat kitar semula buangan terjadual selepas disabitkan kesalahan mengendalikan premis tanpa kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Pengarah JAS Negeri Johor Dr. Mohd Famey Yusoff berkata manakala syarikat Solid New Energy Sdn. Bhd. pula didenda RM270,000 atas kesalahan sama.

Menurutnya syarikat berkenaan sebelum itu turut disabitkan kesalahan dan dikenakan denda dengan jumlah yang sama oleh mahkamah pada 9 Mac lalu.

“Kesalahan melibatkan pengoperasian premis pemerolehan kembali buangan terjadual kod SW103 dan SW104 tanpa kelulusan Jabatan Alam Sekitar di Segamat, Johor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tertuduh katanya telah mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 34A(6) dan Seksyen 34B(1)(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 itu.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan pihak industri dan masyarakat supaya sentiasa mematuhi peruntukan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 serta peraturan berkaitan.

“Tindakan perundangan akan dikenakan terhadap syarikat, pengarah syarikat dan individu terlibat sekiranya gagal mematuhi peraturan ditetapkan,” tegasnya.

Dalam pada itu, orang awam diseru untuk melaporkan sebarang aktiviti pencemaran alam sekitar melalui talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam, e-mel ke [email protected] atau portal e-Aduan JAS.

-RI

Tinggalkan komen anda