
Laporan/foto: Florinah Lunsin/Manjin Arak (Kudat)
KUDAT, 19 Mac (MalaysiaAktif) – Produk berasaskan mikroorganisma semula jadi jenama Kapasi yang diusahakan usahawan tempatan Albert Adampai, 53, kini semakin mendapat perhatian pengunjung di Pasar Merah Kudat.
Albert yang berasal dari Kampung Tiga Papan mula mengusahakan produk tersebut secara serius sejak Januari 2025.
Idea penghasilan produk itu tercetus selepas beliau mengikuti kursus pertanian semula jadi di Ranau pada tahun 2023.
Beliau menyedari bahawa tanah yang kekurangan mikroorganisma ibarat tanah mati dan perlu dipulihkan untuk kembali subur.

Produk berasaskan mikroorganisma semula jadi jenama Kapasi yang diusahakan usahawan tempatan Albert Adampai kini menjadi tarikan pengunjung di Pasar Merah Kudat kerana keberkesanannya memulihkan kesuburan tanah.
“Kesedaran itu mendorong saya mengusahakan produk Kapasi yang bermaksud memberi kehidupan dalam bahasa Rungus,” katanya ketika ditemui di Pasar Merah Kudat hari ini.
Albert memberitahu produk tersebut memberi tumpuan kepada penggunaan mikroorganisma tempatan bagi memulihkan tanah yang terjejas akibat penggunaan bahan kimia.
Langkah itu juga sebagai inisiatif mendepani cabaran perubahan cuaca tidak menentu yang menjejaskan kualiti tanah pertanian.
Beliau turut menghasilkan Kapasi Probiotik Ternak bagi membantu meningkatkan kesihatan haiwan khususnya dalam menangani masalah selera makan dan jangkitan penyakit.

Produk Kapasi yang membawa maksud memberi kehidupan dalam bahasa Rungus mula mendapat perhatian petani dan penternak di Kudat sebagai alternatif semula jadi untuk meningkatkan kualiti tanaman serta kesihatan haiwan.
Dua produk utama di bawah jenama ini ialah baja organik cecair dan probiotik ternakan yang dihasilkan daripada bahan asas buah-buahan kaya enzim.
“Pemilihan produk organik bukan sahaja menyokong kelestarian alam sekitar malah membantu memastikan tanah kekal subur serta menghasilkan tanaman berkualiti,” jelasnya lagi.
Meskipun berdepan cabaran kekurangan peralatan dan premis pemprosesan, Albert tetap optimis untuk mengembangkan perniagaannya melalui penambahbaikan pembungkusan.
Beliau berharap masyarakat khususnya petani dan penternak akan terus menyokong produk tempatan yang bakal dikenali sebagai Kapasi Agro pada masa akan datang.
-RJ-





