
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)/Ranhill SAJ
JOHOR BAHRU, 25 Mac (MalaysiaAktif) – Ranhill SAJ menjalin kerjasama strategik dengan Yes bagi memperkenalkan inisiatif baharu yang bertujuan membantu isi rumah di Johor mengurangkan kos sara hidup, selain memperkukuh ketersambungan digital di negeri ini.
Melalui kerjasama itu, pelanggan yang layak serta melanggan pelan Jalur Lebar Yes 5G Advanced akan menerima baucar sebanyak RM10.50 sebulan untuk bil air bagi tempoh enam bulan pertama.

Ranhill SAJ dan Yes memperkenalkan inisiatif yang membantu keluarga kekal berhubung sambil mengurangkan perbelanjaan bulanan
Inisiatif berkenaan menggabungkan dua keperluan asas iaitu bekalan air bersih dan akses internet yang boleh dipercayai, sekali gus menyokong keperluan harian keluarga serta mempercepat agenda bandar pintar dan transformasi digital Johor.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Ranhill SAJ Mohd Hedzir Hanafi berkata kerjasama itu mencerminkan komitmen syarikat dalam meningkatkan kesejahteraan komuniti di negeri berkenaan.
Beliau berkata peranan Ranhill SAJ bukan sekadar membekalkan air terawat dan selamat, malah turut berusaha menawarkan penjimatan bermakna kepada pengguna.
“Melalui kerjasama dengan Yes ini, kami dapat membantu isi rumah di Johor menikmati penjimatan selain menggalakkan penggunaan digital melalui aplikasi Ranhill SAJ.
“Ini merupakan satu lagi langkah ke arah membina Johor yang lebih berhubung dan berdaya digital,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YTL Communications Wing K. Lee berkata kerjasama tersebut membuktikan bagaimana ketersambungan digital boleh digabungkan dengan perkhidmatan asas untuk memberi manfaat kepada masyarakat.
Menurutnya akses internet yang stabil kini menjadi keperluan penting bagi setiap isi rumah.
“Melalui kerjasama ini, kami berbangga dapat membawa rangkaian 5G paling maju di Malaysia ke lebih banyak kediaman di Johor, di samping membantu keluarga menikmati penjimatan tambahan pada bil air,” katanya.
-AA-





