Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Rempah Giling Mummyniza’s Mudahkan Tugas Memasak di Dapur

By 15 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Syuhada Muhamad Yasin/Fatin Nabila Muktar (Pokok Sena)

POKOK SENA, 15 Mac (MalaysiaAktif) – Gerai Rempah Giling Homemade Mummyniza’s yang diusahakan oleh pasangan suami isteri, Mohd Syakir Mustapha dan isterinya kini semakin menjadi pilihan pengunjung di Pasar Pokok Sena di sini kerana menawarkan pelbagai jenis rempah ratus segar dan berkualiti tinggi yang dihasilkan secara homemade.

Gerai Rempah Giling MummyNiza’s di Pasar Pokok Sena

Perniagaan yang diusahakan pasangan tersebut menyediakan pelbagai pilihan rempah merangkumi rempah basah dan kering yang memudahkan pelanggan menyediakan hidangan harian dengan rasa yang lebih asli dan enak.

Antara produk yang paling mendapat sambutan dalam kalangan pelanggan termasuk pelbagai variasi rempah kari, cili giling segar serta rempah untuk hidangan istimewa seperti rempah Nasi Arab dan Nasi Khaomok yang sering digunakan oleh masyarakat tempatan.

Mohd Syakir, 35, berkata bagi memastikan kualiti dan keaslian rasa sentiasa terjamin, semua rempah yang dijual di gerai tersebut dihasilkan sendiri menggunakan kaedah penyediaan homemade.

Menurutnya, keupayaan mereka menghasilkan produk dalam kuantiti lebih banyak dan berkualiti turut dibantu oleh sokongan daripada pihak kerajaan melalui geran yang disalurkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

“Kesemua rempah yang dijual di gerai ini dihasilkan sendiri oleh kami menggunakan mesin pemprosesan khas. Mesin ini berjaya kami miliki hasil daripada geran bantuan yang disalurkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA),” katanya kepada Malaysia Aktif.

Syakir sedang melayan pelanggan di gerainya

Produk rempah yang dihasilkan bukan sahaja memudahkan urusan memasak, malah memberi pilihan kepada pengguna yang mahukan bahan masakan segar tanpa perlu menyediakan sendiri bahan asas seperti cili giling dan campuran rempah.

Seorang pelanggan setia, Salmah Ismail, 62, yang ditemui ketika membeli rempah di gerai berkenaan berkata produk yang ditawarkan sememangnya berkualiti dan menjadi pilihan keluarganya.

“Rempah giling yang dijual di sini memang sangat sedap dan segar. Ia amat membantu dan memudahkan urusan saya untuk memasak juadah keluarga di dapur setiap hari,” katanya.

Usaha gigih usahawan muda seperti Mohd Syakir dan isterinya bukan sahaja membantu memenuhi keperluan pengguna tempatan, malah turut menyumbang kepada perkembangan ekonomi setempat di Pokok Sena serta membuktikan bahawa sokongan dan geran agensi kerajaan mampu memperkasa potensi perusahaan industri kecil dan sederhana (IKS).

-AA-

Tinggalkan komen anda