
Laporan/foto: Sufian Rashid/Zaidi Muslimin
BUKIT MERTAJAM, 15 Mac (MalaysiaAktif) – Sebanyak RM1.03 juta bantuan disalurkan kepada koperasi dan komuniti di Pulau Pinang.

RM786,420 disalurkan kepada Koperasi Pekebun Getah Negeri Pulau Pinang
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong berkata bantuan yang disalurkan melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) itu bertujuan memperkukuh peranan koperasi sebagai pemacu ekonomi komuniti.
“Kita mahu koperasi bukan sahaja menjadi entiti perniagaan, malah berfungsi sebagai ejen kebajikan yang menyokong aspirasi Dasar Keusahawanan Nasional 2030 secara menyeluruh,” katanya pada Program Coop Talk: Menteri dan Komuniti Bukit Mertajam 2026 di sini, kelmarin.
Daripada jumlah tersebut, RM786,420 disalurkan kepada Koperasi Pekebun Getah Negeri Pulau Pinang Berhad melalui Tabung Modal Pusingan bagi memperkasa aktiviti ekonomi koperasi.
Selain itu, RM200,000 diberikan kepada Koperasi Kariah Masjid Ibadur Rahman Kepala Batas Pulau Pinang Berhad menerusi Program Pemerkasaan Rantaian Bekalan Koperasi (SCOPE).

Antara tetamu yang hadir memeriahkan program Coop Talk: Menteri dan Komuniti Bukit Mertajam 2026
Dalam majlis sama, sumbangan tanggungjawab sosial (CSR) turut diberikan termasuk bakul makanan kepada 50 pelajar asnaf dan pekerja am sekolah, bantuan RM1,000 dan dua unit televisyen kepada Sekolah Menenagah Kebangsaan Taman Sejahtera bagi menyokong kemudahan pembelajaran.
Sebanyak RM33,000 turut disumbangkan kepada 21 koperasi masjid di Pulau Pinang dan 12 koperasi sekolah di Parlimen Bukit Mertajam bagi membantu anggota B40 membuat persiapan Aidilfitri.
Sehingga 31 Dis 2025, Pulau Pinang merekodkan 819 koperasi dengan 171,713 anggota, aset bernilai RM1.29 bilion dan perolehan sebanyak RM848.9 juta.
-AA-





