Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

RM100,000 Disalurkan Segera kepada 200 Mangsa MTL Fasa Pertama

By 6 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Norshazila Ahmad/Mohd Hafiz (Sabak Bernam)

SABAK BERNAM, 6 Mac (MalaysiaAktif) – 200 keluarga yang terkesan akibat banjir dan ribut November tahun lepas menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) berjumlah RM500 setiap keluarga, semalam.

Sumbangan yang disalurkan melalui Tabung Bencana Kerajaan Negeri itu disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Datuk Ng Suee Lim dalam Majlis Penyampaian BWI di Kompleks Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam.

Mohd Razali dari Kampung Penerangan, Sekinchan bersyukur menerima bantuan RM 500 yang disampaikan oleh Suee Lim sedikit sebanyak membantu untuk persiapan Aidilfitri.

Menurut Ng penyaluran bantuan fasa pertama yang melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM100,000 itu disegerakan bagi membantu mangsa membuat persiapan menyambut Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.

“Kita faham sambutan Aidilfitri semakin hampir, jadi bantuan ini disegerakan bagi meringankan sedikit sebanyak beban kos yang ditanggung mangsa selepas kejadian tersebut,” katanya ketika ditemui media selepas majlis berkenaan.

Tragedi yang berlaku pada November 2025 itu menyebabkan beberapa kawasan pesisir pantai termasuk Sekinchan, Parit Lima, Sungai Besar dan Sungai Air Tawar dilanda banjir ekoran fenomena air pasang besar yang luar biasa.

Keadaan ini juga menyebabkan ban pecah dan berlaku limpahan air memasuki kawasan penempatan penduduk.

200 penerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) bernilai RM 500 yang hadir sempena Majlis Penyampaian BWI di Kompleks Pejabat Tanah Daerah dan Tanah Sabak Bernam.

Ng  berkata kerajaan negeri kini sedang giat melaksanakan kerja-kerja menaik taraf ban di kawasan berisiko tinggi bagi mengurangkan impak bencana pada masa hadapan.

“Setakat ini, lebih RM4 juta telah dibelanjakan khusus untuk kerja menaik taraf ban di kawasan Sekinchan, kita akan terus menambah baik struktur pertahanan pesisir pantai ini, terutamanya di lokasi-lokasi yang dikenal pasti sebagai kritikal,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa baki penerima yang layak akan menerima sumbangan tersebut melalui pembayaran fasa kedua yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

-RI

 

Tinggalkan komen anda