Skip to main content
Berita TempatanSarawak

RM30,500 Disalur Sejahtera MADANI Santuni Golongan Memerlukan di Sri Aman

By 18 Mac 2026Mac 25th, 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Iswandi Kassim/UKAS (Sri Aman)

SRI AMAN, 18 Mac (MalaysiaAktif) – Kerajaan Persekutuan menyalurkan bantuan berjumlah RM30,500 bagi membantu golongan memerlukan dan mangsa bencana di Bahagian Sri Aman menerusi program Sejahtera MADANI.

Program tersebut merangkumi Inisiatif Ziarah Kasih Ramadan 1447H serta Sumbangan Wang Bantuan Kebajikan dan Bencana.

Langkah itu dilaksanakan bagi meringankan beban kos sara hidup masyarakat setempat melalui agihan sumbangan wang tunai serta bakul makanan.

Seramai 61 Ketua Isi Rumah (KIR) menerima bantuan tersebut yang melibatkan golongan mualaf dan orang kurang upaya (OKU).

Golongan memerlukan di Sri Aman menerima sumbangan wang tunai dan bakul makanan menerusi Inisiatif Ziarah Kasih Ramadan 1447H bagi meringankan beban kos sara hidup menjelang musim perayaan.

Residen Bahagian Sri Aman Mahra Salleh berkata bantuan yang disalurkan bukan sekadar bersifat bermusim tetapi mencerminkan komitmen kerajaan membantu rakyat secara berterusan.

“Sumbangan ini adalah tanda komitmen kerajaan dalam memastikan tiada rakyat yang tercicir daripada arus pembangunan negara,” katanya ketika berucap di pekarangan Masjid Besar Bahagian Sri Aman hari ini.

Mahra memberitahu bantuan tersebut selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dalam menjaga kebajikan rakyat secara menyeluruh.

Dalam majlis sama, sumbangan khas turut diberikan kepada mangsa kebakaran di Perumahan Melayu RPR Fasa 1 Sri Aman bagi membantu mereka meneruskan kehidupan.

Seramai 1,810 individu dalam kategori miskin direkodkan di Bahagian Sri Aman setakat Mac 2026.

Jumlah tersebut melibatkan 716 orang di Daerah Lubok Antu, 557 orang di Daerah Sri Aman, 339 orang di Daerah Lingga dan 198 orang di Daerah Pantu.

“Kerajaan sentiasa berusaha mencari pendekatan menyeluruh dan berfokus untuk membantu rakyat keluar daripada kepompong kemiskinan tegar,” katanya lagi.

Mahra menegaskan usaha tersebut memerlukan kerjasama erat antara Pejabat Daerah, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan agensi berkaitan.

Turut hadir Pegawai Pembangunan Zon Radiah Muhamed serta wakil agensi dan pemimpin masyarakat setempat.

-RJ-

Tinggalkan komen anda