
Laporan/foto: Boniface Watt Su/Ignatius Golen Sugai/Pejabat Daerah Pakan (Pakan)
PAKAN, 18 Mac (MalaysiaAktif) – Program Sejahtera MADANI Kebajikan: Ziarah Kasih Ramadan 1447H menyantuni golongan memerlukan di Daerah Pakan melalui pemberian bantuan wang tunai dan bakul makanan.
Program anjuran ICU JPM Sarawak (Sri Aman) itu berlangsung di Bilik Serbaguna Pejabat Daerah Pakan.
Penolong Pegawai Daerah Pakan Janet Boondar menyempurnakan majlis penyerahan bantuan tersebut.
Sebanyak RM6,000 diperuntukkan bagi menjayakan program tersebut yang diagihkan kepada 12 Ketua Isi Rumah (KIR) terpilih.
Inisiatif ini dilaksanakan selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI dalam memastikan tiada rakyat tercicir daripada arus pembangunan.
Langkah tersebut juga bertujuan membantu meringankan beban kos sara hidup golongan sasar khususnya sepanjang bulan Ramadan.
Janet berkata kerajaan komited membantu golongan berkelayakan agar mampu berdikari dalam jangka panjang.
“Hasrat utama kerajaan komited dalam menyalurkan bantuan adalah untuk membina keupayaan penerima agar mampu berdikari dalam jangka masa panjang,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut, hari ini.
Janet memberitahu bantuan itu diharap dapat menjadi pemangkin kepada para KIR untuk terus berusaha meningkatkan pendapatan keluarga.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha membasmi kemiskinan memerlukan kerjasama semua pihak termasuk agensi pelaksana dan rakyat sebagai penerima.
Program ini mencerminkan keprihatinan berterusan kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat khususnya golongan miskin di kawasan luar bandar.
-RJ-





