Skip to main content
Berita TempatanSabah

Sabah Electricity Laksana CSR, Sumbang Wakalah Zakat di Ranau

By 12 Mac 2026Mac 16th, 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Municca Kiat/Robitikson Majingka (Ranau)

RANAU, 12 Mac (MalaysiaAktif) – Sabah Electricity (SE) komited melaksanakan pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) sepanjang Ramadan termasuk pemberian Wakalah Zakat kepada golongan yang layak.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata usaha SE memberi semula kepada masyarakat tanpa mengira kaum mampu mengeratkan hubungan syarikat dengan komuniti serta membantu meringankan beban ekonomi golongan sasar.

“Penglibatan syarikat swasta, individu berkepentingan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam melaksanakan CSR di negeri ini amat dialu-alukan oleh kerajaan,” katanya ketika merasmikan Majlis Seikhlas Budi, Sesuci Ramadan di Dewan Terbuka Kampung Karanaan pada Selasa.

Masidi (dua kanan)bersama Saadiah menyampaikan Wakalah Zakat SE kepada Junaili disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif, SE, Datuk Ir.Ts Mohd Yakoob Jaafar (kiri).

Dalam majlis tersebut, SE menyampaikan Wakalah Zakat sebanyak RM20,000 kepada 100 penerima daripada golongan asnaf.

Sumbangan sebanyak RM10,000 turut disampaikan kepada Masjid Kampung Karanaan dan Madrasah Tahfiz Muthaful Ulum As-Sobirin bagi tujuan kebajikan serta pengurusan madrasah.

Sementara itu, Pengerusi SE, Saadiah Aziz berkata pihaknya komited menyumbang kepada masyarakat menerusi pelbagai program CSR berimpak tinggi termasuk di daerah Ranau.

Saadiah ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Seikhlas Budi, Sesuci Ramadan di Dewan Terbuka Kg Karanaan, Ranau, kelmarin.

“Antara program yang telah dilaksanakan termasuk pembinaan rumah melalui Program Bantuan Mesra Rakyat kepada ibu tunggal dan keluarga berpendapatan rendah di Kampung Langsat Ranau dan Kampung Waang Kundasang pada tahun 2024,” katanya.

Saadiah berkata kerajaan turut memperkenalkan Rebat Bil RM40 yang disalurkan secara automatik melalui bil elektrik bulanan penerima yang layak bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat terutama ketua isi rumah yang berdaftar dalam sistem eKasih sebagai golongan miskin tegar.

-RJ-

Tinggalkan komen anda