
Laporan/Foto: Noorsiah Mahmud/Sitti Jakiyah Abd Rahim (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 12 Mac (MalaysiaAktif) – Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) di Kota Kinabalu terus menjadi tumpuan orang ramai untuk membeli kuih raya dengan pelbagai pilihan kuih tradisi dan moden dijual sepanjang Ramadan.
Peniaga kuih raya, Nur Ateika Ahmad berkata jualan kuih tradisional seperti kuih jala, sapit dan rempeyek masih menjadi pilihan pembeli selain dijual pada harga berpatutan.
“Alhamdulillah, sambutan tahun ini sangat menggalakkan kerana setiap hari ramai pelanggan datang membeli termasuk pelanggan tetap dan pembeli baharu,” katanya ketika ditemui di gerainya di Wisma MUIS pada Selasa.

Nur Ateika melayani Roslan yg berkunjung di gerai kuih raya miliknya di Wisma MUIS.
Beliau berkata bekalan kuih tradisi dibawa dari Tuaran dan Papar selain mengekalkan harga seperti tahun lalu supaya semua orang mampu membeli kuih raya tradisional.
Sementara itu, pelanggan, Roslan Pasiran, 38, berkata Wisma MUIS sering menjadi lokasi pilihannya membeli kuih raya kerana menawarkan pelbagai pilihan kuih tradisi berkualiti setiap tahun pada harga yang berpatutan.
Selain kuih raya, Wisma MUIS turut menjadi tumpuan masyarakat sekitar Kota Kinabalu untuk membeli pelbagai persiapan Aidilfitri termasuk pakaian raya, songkok, perhiasan rumah dan biskut raya.
-RJ-





