
Laporan/Foto: McWilkins Benadik (Kuching)
KUCHING, 12 Mac (MalaysiaAktif) – Sambutan perayaan di peringkat sekolah dilihat mampu memupuk nilai saling menghormati serta semangat kebersamaan dalam kalangan generasi muda selain memberi peluang kepada pelajar mengenali kepelbagaian budaya masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Lo Khere Chiang berkata program seperti itu mencerminkan keharmonian dan muhibah yang menjadi kekuatan masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
“Melalui sambutan bersama seperti ini, pelajar dapat menghargai kepelbagaian budaya selain mengukuhkan hubungan persahabatan antara satu sama lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri program lawatan sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Arang semalam yang turut dimeriahkan dengan sesi agihan angpao kepada para pelajar.
Program tersebut menghimpunkan warga sekolah pelbagai kaum dalam suasana penuh muhibah selain menjadi platform mengeratkan hubungan antara komuniti setempat dan institusi pendidikan.
Selain sesi agihan angpao, rombongan turut dibawa melawat sekitar kawasan sekolah oleh pihak pentadbiran bagi meninjau kemudahan serta bertukar pandangan mengenai perkembangan sekolah.
-RJ-





