
Laporan/foto: M. Anizan Mat Daud/Sukri Ismail (Tumpat)
TUMPAT, 3 Mac (MalaysiaAktif) – Shatila Yatim, tekad meneruskan tradisi turun-temurun keluarganya dengan menyediakan kuih tradisional akok menggunakan teknik membakar menggunakan sabut kelapa di Kampung Semat Jal, di sini.

Shatila pemilik gerai akok, generasi ke -2 selepas ibunya.
Wanita berusia 42 tahun itu berkata teknik membakar akok menggunakan sabut kelapa mengekalkan aroma dan rasa unik yang tiada tandingan.
Menurutnya, proses penyediaan akok bergantung kepada bahan semula jadi seperti tepung gandum, santan, telur dan gula ‘nisan kerek’ (gula melaka) dengan sukatan tepat, bagi menghasilkan rasa yang enak serta tekstur lembut.

Antara pelanggan setia gerai akok Shatila.
“Alhamdulillah, jualan akok kami biasanya mencecah lebih 2,000 biji setiap Ramadan dan musim cuti persekolahan. Teknik tradisional ini membuatkan akok kami kekal mendapat permintaan ramai,” katanya kepada Malaysia Aktif, di sini baru-baru ini.
Beliau berkata pelanggan gerai akoknya terdiri daripada penduduk tempatan serta pengunjung dari daerah berhampiran.
Resipi akok yang diwarisi sejak dua generasi itu katanya mencerminkan kepentingan mengekalkan warisan makanan tradisional Melayu Kelantan dalam budaya setempat.
“Makanan tradisional ini bukan sahaja menarik minat generasi lama, malah golongan muda turut menghargai warisan budaya melalui rasa dan pengalaman membeli akok,” katanya.
-RI





