
Laporan/foto: Muzamil Razali (Segamat)/Facebook Pejabat Kesihatan Daerah Segamat
SEGAMAT, 3 Mac (MalaysiaAktif) – Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Segamat mempertingkatkan pemantauan dan penguatkuasaan di seluruh bazar Ramadan daerah ini bagi memastikan tahap kebersihan serta keselamatan makanan berada pada tahap tertinggi.

Dr. Mohd Ridzuan dan Mohd Fazle melakukan pemeriksaan di bazar Ramadan.
Pegawai Kesihatan Daerah Segamat Dr. Mohd Ridzuan Mohd Lutpi berkata langkah itu dilaksanakan menerusi Program Walkabout dan Pemeriksaan Premis yang dijalankan secara berkala sepanjang bulan Ramadan.
Menurutnya, dalam operasi terbaharu di Bazar Ramadan Bandar IOI semalam, sebanyak 190 daripada keseluruhan 494 premis di daerah ini telah diperiksa setakat ini.
“Hasil pemeriksaan mendapati majoriti peniaga mematuhi peraturan yang ditetapkan. Bagaimanapun, terdapat beberapa teguran diberikan dan dua kompaun telah dikeluarkan atas kesalahan berkaitan etika pemakaian pengendali makanan.
“Kesalahan tersebut melibatkan kegagalan memakai pakaian pengendali makanan yang lengkap serta penggunaan aksesori tambahan semasa mengendalikan makanan yang boleh mengundang risiko pencemaran,” katanya ketika ditemui semasa program berkenaan, di sini semalam.

Penyerahan apron dan cenderahati kepada peniaga bazar Ramadan.
Beliau turut menasihati orang ramai agar sentiasa peka dan memainkan peranan sebagai pengguna yang bijak selain mengamalkan konsep ‘Perhati dan Pilih’ sebelum melakukan pembelian serta mempraktikkan langkah ‘Lihat, Hidu, Rasa’ sebelum makan bagi mengelakkan kejadian keracunan makanan
Beliau juga menegaskan, PKD Segamat akan meneruskan pemantauan berterusan bagi memastikan keselamatan kualiti makanan terjamin, sekali gus membolehkan masyarakat menjalani ibadah puasa dengan lebih selamat dan selesa.
Turut hadir Setiausaha Majlis Perbandaran Segamat (MPS) Mohd Fazle Mohd Yusop.
-RI





