Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanNegeri Sembilan

SHMMP Dilaksana Pastikan Harga Barangan Keperluan Terkawal

By 17 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Hasnida Sarani/Media YB Veerapan

SEREMBAN, 17 Mac (MalaysiaAktif) – Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2026 dilaksanakan selama 15 hari bermula 14 hingga 28 Mac ini bagi memastikan harga barangan keperluan kekal terkawal sepanjang musim perayaan.

Pengerusi Jawatankkuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Sembilan Veerapan Superamaniam, berkata skim berkenaan meliputi tujuh hari sebelum perayaan, satu hari semasa perayaan dan tujuh hari selepas perayaan.

Veerapan membuat semakan harga yang dipaparkan pasar raya tersebut.

Beliau, berkata pelaksanaan skim itu melibatkan 27 jenis barangan keperluan termasuk bawang kuning besar, bawang merah besar, bawang merah kecil India, bawang putih (China), cili kering keriting, cili merah, daging kerbau import (India), daging lembu tempatan (kecuali batang pinang), halia tua import, ikan kembung termasuk ikan mabung dan ikan selayang.

“Pelaksanaan skim ini bertujuan memastikan pengguna dapat menikmati harga barangan keperluan yang berpatutan di samping mengekang sebarang aktiviti pencatutan sepanjang musim perayaan,” katanya pada Majlis Pelancaran SHMMP Hari Raya Puasa 2026 di Pasaraya AEON, Seremban 2, Sabtu lalu.

Turut tersenarai ialah kacang dal, kacang panjang, kacang tanah, kelapa biji, kelapa parut, kubis bulat, lobak merah, santan kelapa, sawi hijau, timun, tomato serta ubi kentang (China).

Turut hadir Ahli Parlimen Rasah Cha Kee Chin.

Menurut Veerapan lagi, skim tersebut dikuatkuasakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) yang membolehkan kerajaan menetapkan harga maksimum bagi barangan terlibat.

“Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan ditugaskan melakukan pemantauan di lokasi strategik seperti pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana peniaga yang gagal mematuhi peraturan termasuk kesalahan tidak meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal serta menjual barangan melebihi harga maksimum yang ditetapkan,” katanya.

Orang ramai juga digalakkan menyalurkan maklumat kepada KPDN sekiranya terdapat sebarang salah laku atau ketidakpatuhan terhadap skim tersebut melalui WhatsApp Aduan 019-848 8000, aplikasi Ez ADU KPDN, talian 1-800-886-800 atau portal e-aduan.kpdn.gov.my.

-RI-

Tinggalkan komen anda