
Laporan/foto: Shah Hood/Facebook Hasni Mohammad
JOHOR BAHRU, 17 Mac (MalaysiaAktif) – Komitmen Johor dalam memperkukuh agenda kelestarian terus diperkasa apabila pelbagai inisiatif pembangunan mampan serta tindakan iklim sedang dilaksanakan di negeri ini.

Arthur Joseph Kurup berbincang dengan Hasni Mohammad semasa lawatan ke JSC
Pengerusi Lembaga Penasihat Pusat Kelestarian Johor (JSC) Datuk Hasni Mohammad berkata lawatan Menteri Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Seri Arthur Joseph Kurup ke pusat berkenaan telah menghimpunkan pelbagai rakan strategik negeri.
“Lawatan tersebut melibatkan agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), institusi pendidikan, pemain industri serta komuniti, yang masing-masing membawa kepakaran dan komitmen untuk memacu agenda kelestarian Johor,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, semalam.
Menurut beliau, JSC diwujudkan sebagai platform yang menghubungkan idea, kepakaran dan tindakan dalam usaha memperkasa agenda kelestarian negeri.

Arthur Joseph Kurup mendengar penerangan daripada Hasni Mohammad semasa lawatan ke JSC di Johor Bahru
Melalui pusat ini, pelbagai inisiatif termasuk pembangunan tenaga boleh baharu, pelaburan hijau serta pembangunan mampan digerakkan bagi memastikan masa depan Johor terus lestari.
“Kelestarian bukan sekadar agenda dasar. Ia tentang bagaimana kita membangunkan negeri tanpa mengorbankan alam yang menjadi warisan generasi akan datang,” katanya.
Beliau turut menghargai sokongan kerajaan Persekutuan serta komitmen semua agensi yang terlibat.
Selain itu, beliau menegaskan bahawa kerjasama antara kerajaan, industri, akademia dan masyarakat amat penting dalam membawa Johor dan Malaysia ke arah masa depan yang lebih hijau dan mampan.
-AA-





