Skip to main content
Berita TempatanLabuan

Surau Musolla Ibnu Sina IPD Labuan Kini Boleh Laksanakan Solat Jumaat

By 27 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)

LABUAN, 27 Mac (MalaysiaAktif) – Surau Musolla Ibnu Sina, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan mendapat kebenaran melaksanakan Solat Jumaat berkuat kuasa hari ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Hanifuddin Roslan berkata keputusan meluluskan permohonan bagi kebenaran mendirikan Solat Jumaat telah dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan (khas) Bil. 1 Tahun 2026 yang bersidang pada 11 dan 13 Feb lepas.

“Menyedari akan pentingnya institusi ini kepada masyarakat, maka suka saya mengingatkan Pengerusi dan Jawatankuasa Kariah perlulah memaksimakan peluang dan ruang yang ada bagi menzahirkan fungsi institusi suci ini secara holistik.

“Bagi melaksanakan tanggungjawab dan amanah tersebut, maka aspek mentadbir dan mengurus kewangan perlu telus, berhemah dan mencapai keberhasilannya (outcome),” katanya semasa Majlis Pengisytiharan Diri Solat Jumaat Pertama Surau Musolla Ibnu Sina di sini hari ini.

Beliau mengingatkan agar pengurusan surau untuk sentiasa merujuk Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (wilayah-wilayah Persekutuan) 1993, Kaedah-Kaedah Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Jawatankuasa Kariah) 2019 dan Garis Panduan Pengurusan Kewangan Masjid dan Surau Wilayah Persekutuan agar pentadbiran dan pengurusan kewangan menjadi teratur.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Labuan Supt Hamizi Halim berharap agar surau itu akan terus dimakmurkan dengan pelbagai aktiviti keagamaan seperti kuliah ilmu, tadarus al-Quran, program kerohanian, serta majlis-majlis ilmu yang mampu menyuburkan lagi nilai-nilai Islam dalam kehidupan kita.

“Mudah-mudahan dengan adanya Surau Jumaat ini, ia dapat menjadi pusat pembangunan spiritual yang bukan sahaja memberi manfaat kepada warga IPD Labuan, malah turut membuka ruang kepada masyarakat sekitar untuk bersama-sama mengimarahkan rumah Allah ini,” katanya.

-FN

Tinggalkan komen anda