Skip to main content
Berita TempatanLabuan

Syarikat Pemborong Berdepan Denda Sehingga RM1 Juta

By 4 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/KPDN Labuan

LABUAN, 4 Mac (MalaysiaAktif) – Sebuah syarikat pemborong yang membekalkan barang kawalan berjadual (CSA) telah diambil tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan semasa penugasan Ops Pantau Bekalan yang dijalankan semalam.

Syarikat pemborong tersebut diambil tindakan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Pengarah KPDN Labuan Junaidah Arbain dalam kenyataan semalam, berkata hasil pemeriksaan oleh pasukan penguat kuasa mendapati pemborong berkenaan gagal menyelenggara buku stok pembelian dan penjualan barang kawalan berjadual melibatkan minyak masak serta gula.

“Pemeriksaan lanjut mendapati syarikat tersebut tidak merekodkan butiran pembelian dan penjualan secara lengkap seperti tarikh transaksi, kuantiti, harga, serta nama dan alamat pembeli dan pembekal. Perbuatan tersebut merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122], khususnya di bawah Peraturan 13(1).

Pemantauan akan dipergiatkan bagi memastikan undang-undang berkaitan barang kawalan sentiasa dipatuhi.

“Para peniaga berlesen yang berurusan dengan barang kawalan adalah diwajibkan untuk menyelenggara buku stok dengan teratur dan dikemas kini dari semasa ke semasa, kegagalan mematuhi peruntukan ini merupakan satu kesalahan serius dan boleh dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.

Jelasnya lagi, jika sabit kesalahan individu boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM2 juta dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya.

“KPDN Labuan akan terus mempergiat pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan undang-undang berkaitan barang kawalan sentiasa dipatuhi dan tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda