
Laporan/foto: Shah Hood/Facebook Johor Specialist Hospital
JOHOR BAHRU, 4 Mac (MalaysiaAktif) – Johor Specialist Hospital (JSH) mencatat sejarah apabila berjaya melaksanakan pembedahan jantung invasif minimum (MICS) koronari pertama di wilayah selatan melalui rangkaian KPJ Health System (KPJHS), sekali gus memperluas akses rawatan jantung berteknologi tinggi kepada masyarakat setempat.

Pakar-pakar berpengalaman JSH komited memberikan rawatan terbaik dengan kepakaran dan dedikasi tinggi.
JSH dalam kenyataan semalam memaklumkan prosedur berkenaan dilakukan oleh pasukan pembedahan jantung JSH diketuai Dr. Syed Mohd Adeeb Syed Jalaludin dan Dr. Wong Teck Fui dengan bimbingan pakar daripada KPJ Damansara Specialist Hospital 2 (DSH2) yang diterajui Prof. Dr. Shahrul Amry Hashim.
“Berbeza dengan pembedahan pintasan konvensional yang memerlukan tulang dada dibelah dan tempoh pemulihan lebih panjang, MICS koronari dilaksanakan melalui hirisan kecil di bahagian kiri dada tanpa memisahkan sternum.
“Pendekatan ini mengurangkan trauma pembedahan serta memberi rawatan revaskularisasi yang selamat dan berkesan kepada pesakit penyakit arteri koronari,” menurut kenyataan itu.
Perunding dan Pakar Bedah Kardiotorasik JSH Dr. Syed Mohd Adeeb Syed Jalaludin berkata pengenalan MICS memperkukuh perkhidmatan kardiak bersepadu di JSH serta meningkatkan akses kepada pembedahan jantung kompleks yang lebih dekat dengan kediaman pesakit.

Di sebalik setiap rawatan yang berjaya, ada pasukan yang bekerjasama dengan dedikasi dan semangat yang tinggi.
“Pelaksanaan teknik ini bukan sahaja memberi pilihan rawatan lebih moden dan kurang invasif, malah membolehkan pesakit menikmati proses pemulihan yang lebih cepat serta tempoh kemasukan ke hospital yang lebih singkat,” katanya.
Inisiatif tersebut juga menyokong visi jangka panjang JSH dalam menubuhkan Pusat Kecemerlangan Jantung dan Paru-Paru yang komprehensif, sekali gus memperkukuh keupayaan perkhidmatan kesihatan khususnya di wilayah selatan tanpa perlu pesakit mendapatkan rawatan di bandar utama.
-RI





