
Laporan/foto: Nor Emylia Lot/Muhammad Arief Hasbollah Amin (Terengganu)
MARANG, 14 Mac (MalaysiaAktif) – Program World #QuranHour (WQH) 2026 memasuki penganjurannya yang ke-11 dengan penyertaan masyarakat setempat yang berhimpun selama satu jam bagi menghayati serta mendalami mesej al-Quran di Dewan Perpustakaan Awam Marang.

Mohd Irwan Yusof berkata program ini wajar diteruskan kerana mampu mendekatkan masyarakat dengan al-Quran selain mengeratkan hubungan silaturahim dalam komuniti
Penolong Pustakawan Daerah Marang, Mohd Nor Aladin Husin, berkata program berkenaan bertujuan menggalakkan masyarakat untuk lebih mendekati al-Quran selain menghayati nilai serta pengajaran yang terkandung di dalamnya.
Menurut beliau, penganjuran World #QuranHour diharap dapat membudayakan amalan membaca, memahami dan mengamalkan al-Quran dalam kehidupan seharian.
“Selain itu, program ini juga menjadi platform untuk menyatukan masyarakat daripada pelbagai lapisan umur bagi bersama-sama mengimarahkan aktiviti keagamaan,” katanya ketika ditemui pada program tersebut Rabu lepas.

Pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelajar, penjawat awam dan penduduk setempat hadir di Program World #QuranHour 2026
Bagi peserta, Mohd Irwan Yusof, 48, program tersebut wajar diteruskan kerana mampu mendekatkan masyarakat dengan al-Quran selain mengeratkan hubungan silaturahim dalam komuniti.
“Program seperti ini memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan al-Quran sebagai panduan hidup, selain menjadi ruang untuk kita bersama-sama memperbaiki diri,” katanya.
Program World #QuranHour 2026 itu turut disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelajar, penjawat awam dan penduduk setempat yang meluangkan masa bersama-sama menghayati kalam Allah dalam suasana penuh ketenangan dan keberkatan.
-AA-






