
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)/JPJ Malaysia
JOHOR BAHRU, 18 April (MalaysiaAktif) – Sebanyak 82,987 kenderaan telah diperiksa dalam operasi penguatkuasaan Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) di pintu sempadan Malaysia – Singapura sejak 1 Julai 2025 sehingga kelmarin, dengan 5,984 saman dikeluarkan atas kesalahan tidak memiliki VEP.

Aedy Fadly memaklumkan sebanyak 391,007 tag Radio Frequency Identification (RFID) VEP telah dikeluarkan setakat ini
Operasi oleh Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu turut merekodkan kutipan kompaun berjumlah RM2.19 juta dalam tempoh sama.
Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata tindakan tegas itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan pematuhan undang-undang serta mengekang ketirisan subsidi bahan api RON95.
“Penguatkuasaan turut diperkukuh melalui penggunaan teknologi Pengecaman Nombor Pendaftaran Automatik (ANPR) di lokasi strategik seperti Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), selain integrasi data antara agensi.

Sehingga 16 April 2026, sebanyak 5,984 saman VEP dikeluarkan dengan kutipan kompaun RM2.19 juta
“Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk ketidakpatuhan undang-undang,” katanya pada sidang media selepas operasi bersepadu di BSI, Bukit Chagar, di sini semalam.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan sebanyak 391,007 tag Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) VEP telah dikeluarkan setakat ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam serta Pengarah JPJ Negeri Johor, Zulkarnain Yasin.
-AA-






