Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Dua Rumah Musnah Terbakar di Kampung Hulu Lemanak, 19 Penghuni Tinggal Sehelai Sepinggang

By 18 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)/BBP Sri Aman

SRI AMAN, 18 April (MalaysiaAktif) – Seramai 19 penghuni hilang tempat berteduh selepas dua buah rumah musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Kampung Hulu Lemanak, awal pagi tadi.

Kebakaran itu turut mengakibatkan tiga motosikal dan dua enjin sangkut hangus, manakala sebuah kereta jenis Nissan mengalami kerosakan kira-kira 20 peratus.

Bagaimanapun, tiada kecederaan atau insiden kehilangan nyawa dilaporkan dalam kejadian itu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima pada 3.18 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik tiba di lokasi, didapati kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat jenis separuh kekal serta sebuah rumah tidak kekal sedang marak.

“Pasukan operasi segera melaksanakan pemadaman menggunakan dua aliran hos serta dua aliran salur bantu mula bagi mengawal dan menghalang api daripada merebak ke kediaman berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Operasi diketuai Komander Operasi, PBK I Edwin Jonani dibantu empat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), kontraktor Sesco serta dua anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kampung Hilir.

Tindakan pantas pasukan keselamatan itu berjaya menyelamatkan empat rumah berhampiran yang hanya mengalami kesan kebakaran sekitar satu peratus.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 6.49 pagi selepas kerja-kerja pemeriksaan menyeluruh pascakebakaran dijalankan bagi memastikan tiada sisa kebakaran.

Punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan

-FN

Tinggalkan komen anda