
Laporan/foto: Salleh Immun (Mukah)/IPD Mukah
MUKAH, 28 April (MalaysiaAktif) — Polis menahan seorang lelaki warga asing dan seorang wanita tempatan yang disyaki memiliki dan menyalahgunakan dadah di Jalan Lama Mukah-Balingian, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias berkata kedua-dua suspek berusia 44 dan 37 tahun ditahan kira-kira pukul 1 tengah hari oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah.
“Semasa serbuan dijalankan, kedua-dua suspek didapati sedang duduk di atas sebuah motosikal. Pemerhatian mendapati lelaki berkenaan bertindak mencampakkan satu objek ke dalam semak sebaik menyedari kehadiran polis.
“Pemeriksaan lanjut menemukan satu paket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki syabu seberat 0.63 gram,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata kedua-dua suspek yang positif amphetamine dan methamphetamine direman sehingga 1 Mei bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 12(2) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Lelaki warga asing itu katanya turut disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mengaku bahawa dadah yang ditemui adalah milik mereka. Wanita tempatan itu dilaporkan bekerja sebagai buruh ladang sawit,” katanya.
-FN





