
Laporan/foto: Mohammad Hafizee/Muhaimin Musa (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 28 April (MalaysiaAktif) – Semangat kenegaraan dalam kalangan rakyat perlu ditingkatkan demi kestabilan politik dan ekonomi negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Ts. Mustapha Sakmud.
Beliau berkata pemerkasaan jati diri rakyat dan pemupukan semangat patriotisme yang mendalam adalah antara mekanisme bagi mencapai perkara tersebut.
“Hari ini kita berhadapan dengan cabaran geopolitik global yang sangat mencabar. Oleh itu, semanagat kenegaraan perlu ditingkatkan…agar kita kekal berdaya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan hubungan antarabangsa, konflik serantau serta tekanan ekonomi global,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pejabat Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Beliau berkata penubuhan AKM bertepatan dalam mencapai hasrat tersebut kerana ia dibina atas matlamat untuk meningkatkan kefahaman terhadap asas kenegaraan terutamanya dalam kalangan generasi muda serta memastikan pegangan teguh terhadap prinsip Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan di tengah cabaran globalisasi.
Sebagai Menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Sabah dan Sarawak, beliau turut menekankan peranan unik AKM sebagai jambatan penghubung antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Menurutnya, AKM berperanan menyebarluaskan elemen kenegaraan secara inklusif dengan mengambil kira kepelbagaian latar belakang masyarakat di setiap wilayah demi memperkukuh integrasi nasional.
Mustapha dalam pada itu melahirkan pengharapan agar AKM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dapat menjadi pusat kecemerlangan dalam melahirkan generasi yang berfikiran kritis dan berdaya tahan.
“Saya juga menyeru semua agensi kerajaan, institusi pendidikan dan masyarakat untuk berganding bahu dalam usaha murni membina negara bangsa ini,” katanya.
-RI





