Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Awang Juing Angkat Pertukangan Senapang Patah Berlesen Di Sarawak

By 10 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Stanley Mike Ajah/Ahmad Fairuz (Sibu)

SIBU, 10 April (MalaysiaAktif) – Sentuhan teliti Awang Juing dari Lembah Rejang, di sini mampu ‘menghidupkan’ semula senapang senjata lama atau rosak.

Awang, 76, adalah pakar pembaikan senapang patah berpengalaman dan berlesen yang memulakan kerjaya itu secara kecil-kecilan pada 1989.

Awang (tengah) pakar pembaikan senapang patah berpengalaman dan berlesen yang memulakan kerjaya itu secara kecil-kecilan pada 1989.

Berkongsi dengan Malaysia Aktif semalam, warga emas itu berkata perjalanannya tidak sunyi daripada cabaran apabila pernah berdepan ujian perundangan sehingga ditahan di lokap Balai Polis Sibu sebelum dibawa ke muka pengadilan.

Akur dengan undang-undang, beliau bangkit dan memutuskan untuk mendapatkan lesen sah sebagai pembaiki senapang patah pada tahun 2000.

“Pengalaman lalu mengajar saya untuk lebih berdisiplin dan mematuhi undang-undang. Dari situ saya bangkit dan berusaha memperbaiki diri serta membina kerjaya dengan cara yang betul,” katanya kepada Malaysia Aktif, semalam.

Sejak itu, bengkelnya menjadi tumpuan pelanggan yang mencari perkhidmatannya yang pelbagai dan berkualiti tinggi seperti kerja kimpalan halus, penghasilan komponen tradisional seperti Udi (pugu senapang) dan Sayuk (pengadang).

Setiap bulan, beliau mampu membaiki purata 20 laras senapang patah dan starter pistol, termasuk menyelesaikan pelbagai masalah teknikal seperti kelongsong peluru tersangkut dan kerosakan mekanisme picu.

Awang turut dibantu oleh pekerjanya sendiri bagi membantu tempahan yang semakin banyak.

“Setiap senjata yang dibaiki memerlukan ketelitian kerana ia melibatkan aspek keselamatan. Kepuasan pelanggan menjadi keutamaan dalam setiap kerja yang saya lakukan,” katanya sambil menambah perkhidmatannya bernilai antara RM800 hingga RM1,000 bagi setiap laras, satu kadar yang dianggap setimpal oleh pelanggan yang mementingkan keselamatan dan prestasi senjata mereka.

Kini, reputasi Awang Juing semakin meluas apabila pelanggan dari Kuching, Sri Aman, Sarikei, Kapit, Miri hingga Limbang sanggup datang mendapatkan khidmat beliau.

Kejayaan yang dicapai membuktikan bahawa kemahiran teknikal yang disertai dengan pematuhan undang-undang mampu membuka ruang kejayaan, sekali gus menjadikan beliau ikon ketabahan serta inspirasi kepada generasi muda dalam bidang pertukangan tradisional.

-FN

Tinggalkan komen anda