
Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal (Johor Bahru)/Facebook Fuziah Salleh
JOHOR BAHRU, 5 April (MalaysiaAktif) – Terdapat penambahan 160,000 pengguna berdaftar aplikasi eCOSS dalam tiga bulan pertama tahun ini, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr. Fuziah Salleh.

Dr. Fuziah, berkata melalui penggunaan aplikasi digital eCOSS, kerajaan dapat mengawal bekalan, mengurangkan ketirisan dan memastikan subsidi sampai kepada rakyat yang layak.
Beliau berkata angka itu bertambah daripada 326,000 pengguna berdaftar yang direkodkan pada tahun lepas menjadikan jumlah keseluruhan kini 486,000 pengguna.
“Hasil peningkatan penggunaan melalui aplikasi eCOSS ini, sebanyak 8.2 juta transaksi jualan minyak masak paket bersubsidi telah direkodkan di Johor sehingga Mac 2026.
“Ini membuktikan penerimaan yang tinggi malah melihat keberkesanan sistem digital yang diperkenalkan sekaligus dapat meningkatkan pemantauan dan ketelusan serta dapat mengekang ketirisan rantaian pengedaran minyak masak paket bersubsidi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di sebuah pasar raya di Tampoi, di sini semalam.

Sistem seperti eCOSS adalah cara yang terbaik setakat ini sebagai kaedah pemantauan agar bekalan mencukupi, agihan lebih bersasar dan hak rakyat sentiasa diutamakan.
Dalam pada itu beliau berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan terus memperkukuh keberkesanan penyaluran subsidi untuk rakyat melalui Program Agihan Minyak Masak Bersubsidi menggunakan aplikasi digital tersebut.
Melalui pendekatan itu, beliau berkata kerajaan dapat menilai keberkesanan penggunaan aplikasi eCOSS semasa transaksi jual beli minyak masak paket bersubsidi bagi memastikan subsidi disalurkan secara lebih bersasar, telus dan berintegriti.
-RI





