
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)
SRI AMAN, 26 April (MalaysiaAktif) – Buah asam paya atau lebih dikenali sebagai buah maram terus menjadi buruan peminat kulinari tradisional meskipun proses mendapatkannya berdepan cabaran di kawasan paya gambut.
Dikenali dengan rasa masam yang tajam serta kulit seakan-akan buah salak, maram dianggap sebagai emas merah dari hutan Sarawak kerana permintaannya yang kekal tinggi.
Peniaga buah maram, Yen Jebeni, 36, berkata usaha mendapatkan buah tersebut memerlukan keberanian tinggi kerana habitatnya di kawasan paya yang berlumpur dan berisiko.
“Proses mendapatkan buah maram bukanlah tugas mudah kerana cabaran utama adalah bentuk muka bumi dan pokoknya yang berduri tajam,” katanya kepada Malaysia Aktif di sini pada Khamis lalu.
Menurut Yen, risiko berdepan haiwan berbisa serta faktor cuaca tidak menentu yang menaikkan paras air paya antara kesulitan utama mengangkut buah keluar dari hutan.
Beliau menjelaskan harga buah maram kini mencecah RM8 sekilogram bergantung kepada tahap kesukaran mendapatkannya di dalam hutan paya.
Penggemar buah tersebut, Baharudin Karim berkata keunikan maram terletak pada fungsinya sebagai penambah selera dalam masakan tempatan khususnya apabila dijadikan sambal.
“Buah ini kalau dicampur dengan belacan, cili dan ikan bilis untuk dimakan bersama nasi panas sudah cukup membangkitkan selera,” katanya.
Peniaga kini mula menghasilkan produk hiliran seperti jeruk maram asam boi dan asam kering bagi memastikan bekalan buah tersebut sentiasa tersedia di luar musim.
Langkah tersebut bukan sahaja memanjangkan jangka hayat buah malah menjadikan produk berkenaan sebagai pilihan buah tangan bagi pelancong yang berkunjung ke Sarawak.
-RJ-





