
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Lingga)
LINGGA, 26 April (MalaysiaAktif) – Tiang bendera Kubu Lama Lingga setinggi 33.3 meter (m) yang berdiri megah di Dataran Pekan Lingga terus menjadi simbol warisan sejarah awal pembentukan pentadbiran Sarawak.
Struktur daripada kayu merbau itu merupakan satu-satunya peninggalan fizikal yang masih utuh di tapak asal Kubu Lingga sejak dibina sekitar tahun 1850-an.
Temenggong Mohd Shah Acang, 68, berkata kewujudan tiang bendera tersebut bukan sahaja mencerminkan nilai sejarah malah melambangkan jati diri masyarakat Lingga yang diwarisi sejak sekian lama.
“Tiang bendera ini adalah bukti fizikal kemahiran pertukangan masyarakat kita dahulu dan maruah sejarah Lingga yang tidak ternilai,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif, di sini kelmarin.
Menurut Mohd Shah, tiang tersebut dibina oleh pahlawan tempatan, Abang Husin yang kemudiannya dianugerahkan gelaran Lela Pahlawan oleh James Brooke.
Kubu Lingga yang dibina pada tahun 1849 memainkan peranan penting dalam strategi mengekang ancaman lanun selain menjadi pusat pentadbiran di muara sungai tersebut.
Walaupun struktur asal kubu tidak lagi wujud sepenuhnya, tiang bendera ini kekal sebagai lambang warisan yang menghubungkan generasi masa kini dengan sejarah silam.
Mohd Shah berharap kerjasama bersama Jabatan Muzium Sarawak dapat diperkukuh bagi menaik taraf kawasan bersejarah tersebut agar terus terpelihara sebagai khazanah negeri.
“Kita mahu pelancong luar datang ke Lingga bukan sahaja untuk melihat alam semula jadi tetapi untuk menyelami sejarah awal Sarawak yang bermula di muara ini,” katanya.
Keunikan tiang bendera tersebut jelas mencerminkan bahawa warisan merupakan simbol identiti dan kebanggaan komuniti yang perlu dipelihara untuk generasi akan datang.
-RJ-





