Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Dua Pengarah Syarikat Mengaku Bersalah Urus Sisa Terjadual Secara Haram

By 28 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)/JAS Johor

SEGAMAT, 28 April (MalaysiaAktif) – Dua pengarah syarikat mengaku bersalah atas pertuduhan menguruskan sisa terjadual secara haram di Mahkamah Sesyen, di sini semalam.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor Dr. Mohd Famey Yusoff berkata pertuduhan melibatkan pengurusan buangan terjadual kod SW110 (sisa elektrik dan elektronik) di Kawasan Perindustrian Segamat 2.

Menurutnya, pengarah syarikat You Peng (M) Sdn. Bhd. iaitu Teh Choon Kian, 53, mengaku bersalah di hadapan Hakim Rahimah Abd Majid atas empat pertuduhan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Tertuduh dihukum penjara satu hari dan denda RM100,000 mengikut Seksyen 34B(1)(a) bagi kesalahan menempatkan buangan terjadual tanpa kelulusan, serta denda tambahan RM50,000 bagi kesalahan mengendalikan premis tanpa lesen di bawah Seksyen 18(1) dan 19(1)(a) akta sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Teh turut dihukum pelucuthakan 400 tan metrik (MT) barangan kes buangan terjadual SW110 kepada Kerajaan Malaysia.

Dalam kes berasingan di lokasi sama, syarikat pengangkutan Vertex Mission Sdn. Bhd. bersama pengarahnya, Yeah Hock Heng, pula didenda RM100,000 atas pengakuan bersalah bagi dua pertuduhan mengikut Seksyen 18(1A).

Mohd Famey berkata syarikat itu didapati menggunakan kenderaan berat bagi pergerakan sisa terjadual tanpa lesen pembawa yang sah.

“Mahkamah turut memerintahkan dua buah lori bersama muatan 31 tan metrik sisa tersebut dilucuthakkan kepada kerajaan,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda