Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

14 Ditahan Dalam Operasi Penyeludupan Migran di Sungai Rengit

By 28 April 2026Tiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Syamilah Yusman (Johor)/Facebook Polis Daerah Kota Tinggi

KOTA TINGGI, 28 April (MalaysiaAktif) – Polis menahan 14 individu termasuk 13 warga Indonesia dalam satu operasi bersepadu di Sungai Rengit, Pengerang dipercayai terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt. Yusof Othman berkata operasi dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari Rejimen Ke-10 Askar Melayu Diraja (RAMD), Kem Majidee.

Menurutnya, serbuan di sebuah rumah berjaya menahan 11 lelaki dan seorang wanita warga Indonesia yang disyaki baru tiba dari negara jiran.

“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua individu berkenaan gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah untuk berada di negara ini,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata polis turut menahan dua lagi warga Indonesia serta seorang lelaki tempatan di dua lokasi berasingan yang dipercayai terlibat dalam kegiatan penyeludupan migran berkenaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Pemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

-RI

Tinggalkan komen anda