
Laporan/foto: Syamilah Yusman (Johor)/Facebook Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Johor
JOHOR BAHRU, 30 April (MalaysiaAktif) – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor menahan 38 warga asing dalam satu operasi penguatkuasaan Op Mahir yang dijalankan di sebuah hab pembungkusan sayur, di sini kelmarin.
Pengarahnya Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata operasi kira-kira pukul 10 pagi itu dilaksanakan hasil risikan dan pemantauan selama beberapa minggu terhadap majikan yang dipercayai menggajikan warga asing secara tidak sah bagi mengelakkan kos penggajian lebih tinggi.
Menurut beliau, pemeriksaan tertumpu di premis berkenaan yang disyaki mengambil pekerja asing tanpa kebenaran serta gagal mengemukakan dokumen perjalanan dan permit kerja yang sah, sekali gus melanggar Akta Imigresen 1959/63.
“Dalam operasi itu, seorang lelaki tempatan yang dipercayai pengurus premis turut ditahan kerana disyaki melindungi warga asing,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata kesemua 38 warga asing yang ditahan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah selain dipercayai menyalahgunakan pas lawatan untuk tujuan bekerja.
“Mereka terdiri daripada 27 lelaki warga Indonesia, seorang lelaki warga China serta 10 wanita warga Indonesia berusia antara 18 hingga 54 tahun. Kesemua yang ditahan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.
-AA-





