Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau Pinang

Kunjungan Mesut Özil ke USM Bawa Inspirasi Kecemerlangan Sukan

By 30 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Abdul Waasiek Ahmad Fikri

GELUGOR, 30 April (MalaysiaAktif) – Kunjungan istimewa bekas pemain bola sepak pasukan Jerman Mesut Özil ke Universiti Sains Malaysia (USM) memberi inspirasi bagi mencapai kecemerlangan dalam bidang sukan.

Program eksklusif anjuran bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di Pusat Sukan dan Rekreasi, di sini semalam menampilkan sesi Meet and Greet serta klinik bola sepak bagi kanak-kanak bawah 12 tahun yang memberi peluang kepada pelajar dan komuniti terpilih menimba pengalaman secara langsung daripada ikon sukan dunia tersebut.

Naib Canselor USM Profesor Datuk Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata kehadiran pemain yang memenangi Piala Dunia 2014 itu merupakan satu nilai tambah besar kepada ekosistem pendidikan universiti.

“Kehadiran tokoh sukan bertaraf antarabangsa seperti Mesut Özil ini bukan sahaja memberi inspirasi kepada pelajar malah menjadi platform penting untuk kita memperkukuh pembangunan sahsiah, disiplin dan kepimpinan melalui sukan,” katanya.

Tambahnya, USM sentiasa komited untuk melahirkan graduan holistik yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga aktif dalam pembangunan diri dan kokurikulum melalui kerjasama bersama kerajaan negeri dan persekutuan.

“Kita mahu pelajar USM bukan sekadar berjaya dalam bilik kuliah tetapi juga mempunyai daya saing global, semangat berpasukan dan jati diri yang tinggi,” katanya.

Sementara itu, peserta yang hadir melahirkan rasa teruja dan menghargai peluang untuk berinteraksi secara dekat dengan Mesut Özil yang disifatkan sebagai sumber inspirasi dalam dunia bola sepak.

Program yang dihadiri seramai 500 orang peminat ini mencerminkan usaha berterusan USM dalam memperkasa pembangunan bakat pelajar serta memperluas jaringan antarabangsa melalui penganjuran program berimpak tinggi kepada pendidikan tinggi negara.

Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abd Halim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban Kumaresan Aramugam.

-RI

Tinggalkan komen anda