Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanSelangor

Jualan Agro MADANI Perkasa Rantaian Agromakanan

By 20 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Dhaifanzufar Dazuka (Gombak)

SELAYANG, 20 April (MalaysiaAktif) – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) terus memperkasa rantaian bekalan agromakanan melalui pelaksanaan Program Jualan Agro MADANI (JAM) yang mensasarkan penjimatan sehingga 30 peratus potongan harga kepada pengguna.

Ketua Pengarah FAMA Abdul Rashid Bahri berkata komitmen itu adalah bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan kemampanan industri agromakanan terus terpelihara.

“Program JAM sangat menyokong agenda keterjaminan makanan negara dengan memperluas akses kepada bekalan makanan segar pada harga berpatutan serta mengurangkan kebergantungan kepada perantara.

“Usaha ini selari komitmen FAMA dalam memastikan rantaian pemasaran agro makanan lebih cekap, telus, dan berimpak tinggi,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program JAM Edisi Negeri Johor di Ibu Pejabat FAMA, di sini hari ini.

Menurutnya lagi, inisiatif ini bukan sahaja memberi manfaat penjimatan kepada rakyat, malah menjadi pemangkin kepada peningkatan pendapatan usahawan tempatan melalui konsep jualan terus dari ladang kepada pengguna.

Program JAM bagi edisi kali ini menghimpunkan seramai 30 usahawan yang menawarkan pelbagai produk agro makanan seperti ayam, daging, hasil laut, sayur-sayuran, dan buah-buahan segar.

Para pengunjung juga berpeluang menikmati penjimatan antara 10 hingga 30 peratus potongan harga dengan tarikan utama seperti Jualan Happy Hour Set Kombo MADANI serendah RM5 serta promosi harga istimewa bagi produk premium seperti durian, pisang, nanas dan harumanis.

-RI

Tinggalkan komen anda