
Laporan/foto: Muhammad Azrul Hafiz (Kuala Lumpur)/Pejabat Perdana Menteri
KUALA LUMPUR, 20 April (MalaysiaAktif) – Malaysia kini merupakan antara negara yang menjadi kebergantungan dunia bagi pengeluaran produk aeroangkasa.
Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata kecemerlangan industri tempatan telah membuktikan bahawa Malaysia mampu memenuhi piawaian paling ketat dalam pasaran komersial dan pertahanan antarabangsa.
“Syarikat-syarikat di sini menghasilkan struktur sayap bagi beberapa pesawat komersial yang paling banyak diterbangkan di dunia. Mereka menghasilkan komponen ketepatan untuk enjin pesawat bagi laluan jarak jauh merentasi setiap benua.
“Kilang-kilang semikonduktor di Pulau Pinang dan Kulim mengendalikan proses pemasangan, pengujian, dan pembungkusan bagi cip yang digunakan dalam sistem pertahanan serta keselamatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Defence Services Asia (DSA) dan National Security Asia (NATSEC) 2026, di sini hari ini.
Anwar berkata sebuah syarikat milik Malaysia juga memegang status pembekal Tahap 1 (Tier 1) kepada pengeluar enjin pesawat global terkemuka.
“Justeru, kepada syarikat utama dan pembekal Tier 1 di sini, datanglah dan kenali pengeluar kami. Luangkan masa bersama mereka.
“Sebahagian daripada anda telah mula berbuat demikian dan saya mengajak mereka yang belum atau masih mempertimbangkan untuk meneliti secara serius mengapa rakan industri anda telah pun melakukannya,” katanya.
Anwar berkata Malaysia mempraktikan amalan tidak memihak kepada sesiapa secara aktif tanpa mengira perbezaan ideologi dan perubahan dasar utama sekali gus membolehkan Malaysia berurusan dengan lain dengan penuh yakin.
“Pembekal dari Malaysia boleh menyertai rantaian bekalan anda tanpa komplikasi politik yang sering menyukarkan keputusan perolehan di tempat lain. Dalam persekitaran semasa, perkara ini merupakan pertimbangan komersial yang nyata,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan akan memastikan perlindungan harta intelek, penguatkuasaan kawalan perdagangan strategik, dan kedaulatan undang-undang yang adil bagi menyokong ekosistem perniagaan.
-FN





