
Laporan/foto: Loseyeffer Molly (Bau)/KKMG Bau
BAU, 29 April (MalaysiaAktif) – Kolej Komuniti Mas Gading (KKMG) terus komited memperkasa komuniti melalui penganjuran Kursus Hujung Minggu sebagai sebahagian daripada inisiatif Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH).
Program tersebut bertujuan membuka peluang kepada masyarakat sekitar daerah ini untuk meningkatkan kemahiran praktikal serta menambah pengetahuan dalam pelbagai bidang teknikal.
Pegawai Perhubungan Awam KKMG, Christi Lemon berkata penganjuran kali ini melibatkan tiga kursus berbeza yang menerima sambutan amat menggalakkan daripada penduduk setempat.
“KKMG berjaya melaksanakan Kursus Canva Junior: Reka & Cipta, Kursus Excel Intermediate serta Kursus Asas Bun dan Pau dengan penglibatan aktif peserta pelbagai peringkat umur,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurut Christi, inisiatif yang bermula sejak Januari lalu itu akan diteruskan sehingga penghujung tahun bagi memastikan kelestarian pendidikan sepanjang hayat dalam komuniti dapat dicapai.
Kursus Canva Junior yang dikendalikan oleh Nursyafiqah Abdul Samad di Makmal Multimedia memberi pendedahan kepada 12 peserta mengenai asas reka bentuk grafik secara kreatif.
Sementara itu, Kursus Excel Intermediate yang dibimbing oleh Cynthia Lee Poh Choo di Makmal Bahasa memfokuskan kepada penggunaan fungsi pertengahan Microsoft Excel bagi pengurusan data pejabat.
Bagi bidang kulinari, seramai 17 peserta mengikuti Kursus Asas Bun dan Pau di Dapur PSH bagi mempelajari teknik penyediaan doh serta kaedah pengukusan yang betul.
Christi menjelaskan bahawa pengisian setiap kursus direka khas untuk memenuhi keperluan semasa industri dan ekonomi domestik peserta.
Kejayaan penganjuran ini membuktikan peranan KKMG sebagai institusi yang efektif dalam menyediakan platform peningkatan kemahiran yang inklusif untuk semua lapisan masyarakat.
-RJ-





