
Laporan/foto: Mohd Suhaidi Mat Jusoh (Tanah Merah)
PASIR MAS, 7 April (MalaysiaAktif) – Tahap kehadiran pelajar ke sekolah dikenal pasti sebagai faktor utama yang menyumbang kepada kecemerlangan akademik dan pembentukan sahsiah murid secara menyeluruh.

Datuk Aimin Jusoh menyampaikan hadiah dan sumbangan PIBG kepada Nurul Zafira.
Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kangkong Datuk Aimi Jusoh berkata kehadiran yang konsisten membolehkan pelajar mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran dengan lebih berkesan sekali gus meningkatkan kefahaman terhadap subjek yang diajar.
“Pencapaian cemerlang pelajar dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 membuktikan usaha berterusan semua pihak membuahkan hasil,” katanya ketika ditemui pada Program Penyampaian Anugerah Kecemerlangan SPM 2025 di Dewan Kencana sekolah berkenaan, di sini semalam.
Pada masa sama, beliau berkata kerjasama erat antara guru dan ibu bapa merupakan elemen penting dalam memastikan kejayaan pelajar, sama ada dalam akademik mahupun aktiviti kokurikulum.
Sementara itu, Pengetua SMK Kangkong Rahimi Mohamed, memaklumkan bahawa kehadiran pelajar ke sekolah direkodkan melebihi 95 peratus dan mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan.
-RI





