
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/LIS
LABUAN, 1 Apr (MalaysiaAktif) – Keputusan cemerlang diperolehi calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dari Sekolah Antarabangsa Labuan (LIS) menyerlahkan lagi kejayaan sekolah itu dalam bidang akademik.

Raaj Ganesh (kiri) menyerahkan keputusan SPM 2025 kepada salah seorang pelajar LIS.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LIS Raaj Ganesh Chandragasan, seramai 15 calon dari sekolah itu menduduki SPM 2025 dengan tiga calon mendapat semua A manakala seramai 40 peratus memperoleh sekurang-kurangnya 5A.
Jelasnya, kejayaan itu lebih bermakna apabila LIS menjadi sekolah terbaik di Labuan bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris untuk SPM 2025.
“Semua calon kami memperolehi sekurang-kurangnya gred B dalam Bahasa Inggeris, manakala 80 peratus daripada pelajar memperoleh gred A sekali gus menunjukkan konsistensi dan mutu pendidikan yang tinggi di sekolah kami.
“95 peratus daripada pelajar kami adalah warga tempatan dan datang daripada latar belakang bukan berbahasa Inggeris, pencapaian ini adalah satu kejayaan yang amat membanggakan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Air mata kegembiraan tidak dapat dibendung oleh pelajar cemerlang LIS.
Tambahnya, tiga orang pelajar LIS yang mendapat semua A adalah Wan Rayyan Faris Shah Wan Ahmad (9A), Izreen Iskandar (9A) dan Nur Alya Syuhadah Yusman Syahri (9A).
“Kejayaan ini bukan yang pertama malah LIS telah memenangi 2 Anugerah ‘Top of the World’ daripada Cambridge 2024-2025 untuk peperiksaan IGCSE, dengan 100 peratus lulus dan 91.7 peratus daripada semua pelajar memperoleh sekurang-kurangnya 1 A*(2025-2026),” katanya.
-RI





