Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Kerajaan MADANI Salur Peruntukan Khas RM20 Juta Bantu Golongan Miskin di Kelantan

By 18 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Wan Sahilawati Wan Baharuddin (Kelantan)

PASIR PUTEH, 18 April (MalaysiaAktif) – Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan khas tambahan sebanyak RM20 juta kepada negeri Kelantan bagi membantu golongan miskin di negeri itu.

Beliau berkata peruntukan tersebut akan diselaraskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) Kelantan bagi memastikan bantuan sampai kepada kumpulan sasar.

“Masalah kemiskinan masih ramai, termasuk di Kelantan. Jadi tadi, saya bincang, saya akan bagi peruntukan khas tambahan untuk di Kelantan ini untuk projek membantu rakyat bawah kategori miskin ini RM20 juta khas untuk itu,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra dan lawatan ke Masjid Gong Chapa Temila, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Dalam pada itu, Anwar memaklumkan Masjid Gong Chapa telah menerima peruntukan RM4 juta bagi pembinaan bangunan utama pada April tahun lalu yang dilaksanakan dalam dua fasa.

Fasa satu katanya telah siap pada 31 Mac lepas melibatkan ruang solat utama, tandas, stor, bilik jenazah dan rumah imam, manakala fasa dua dijangka siap pada 31 Mei tahun hadapan.

Sementara itu, seorang jemaah, Hanisah Awang, 75, melahirkan rasa syukur atas keprihatinan kerajaan MADANI.

“Syukur atas bantuan ini, kami dapat beribadah dengan lebih selesa berbanding sebelum ini,” katanya.

-FN

Tinggalkan komen anda