
Laporan/foto: Aifaa Syafiq (Bentong)
BENTONG, 18 April (MalaysiaAktif) – Semangat kesukanan dalam kalangan warga kerja Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh negara kembali membara menerusi Majlis Perasmian Karnival Sukan Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA) 2026 yang berlangsung gilang-gemilang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Bentong, di sini semalam.

Mohd Fakhruddin (tengah) hadir menyempurnakan majlis perasmian karnival
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, berkata penganjuran karnival sukan yang bertujuan membentuk warga kerja yang cergas serta berdaya saing ini membawa impak besar kepada sektor pelancongan sukan di negeri Pahang.
“Kita mahu melihat semangat kesukanan ini diterjemahkan ke dalam budaya kerja seharian bagi memastikan kualiti perkhidmatan kepada rakyat terus berada pada tahap tertinggi.
“Selaku tuan rumah, Pahang mendapat impak yang besar dari penganjuran karnival sukan ini serta membuktikan sukan juga mampu menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi daerah,” katanya ketika ditemui selepas majlis tersebut.

Antara peserta MALA 2026
Majlis perasmian tersebut menyaksikan perarakan masuk kontinjen daripada pelbagai PBT seluruh negara yang bertanding dalam pelbagai acara sukan sepanjang lima hari karnival berlangsung bermula 15 hingga 19 April ini.
Penganjuran karnival sukan ini terus menjadi wadah penting dalam menyatukan warga PBT daripada pelbagai latar belakang serta memperkasa ukhuwah demi kecemerlangan organisasi di Malaysia.
-AA-





