
Laporan/foto: Muhammad Ikhmal Rauff Bin Ghazali/Herman Bin Hamid (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 27 April (MalaysiaAktif) – Kira-kira 400 peserta menyertai Program KL Fusion Rentak Run 2026 yang berlangsung meriah di ibu kota anjuran Pertubuhan Regenerasi Sosial Malaysia (MYSRO) dengan kerjasama Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Perpaduan Negara.
Ketua Pengarah AKM, Dato’ Dr. Roslan Hussin berkata program yang berlangsung ringkas itu tetap memberi kesan kepada komuniti menerusi kerjasama awam dan swasta.
“Ini menggambarkan kesepakatan kita bersama untuk melaksanakan program yang menarik merangkumi komuniti dari segenap lapisan masyarakat.
“Dalam konteks komuniti kita perlu hidup bersama dengan saling menghormati dan membantu diantara satu sama lain agar dapat mewujudkan masyarakat yang harmoni,” katanya ketika merasmikan Program KL Fusion Rentak Run 2026, di sini semalam.
Sementara itu, salah seorang pengunjung yang hadir Ron Neo, 30, berharap agar program ini diteruskan pada masa hadapan kerana ia menerapkan semangat kesukanan yang tinggi dan dapat merapatkan hubungan kekeluargaan.
Selain itu, salah seorang peserta Athirah Liyana Mohd, 30, menggalakkan penjawat awam untuk turut serta dalam program sebegini.
Pelbagai pengisian menarik turut diadakan termasuk pertandingan congkak bagi kanak-kanak, saringan kesihatan percuma serta jualan produk tempatan oleh penduduk setempat, sebelum program diakhiri dengan persembahan tarian budaya yang mencerminkan kepelbagaian warisan masyarakat Malaysia.
-AA-





