
Laporan/foto: Azrul Abdullah (Padang Terap)
ALOR SETAR, 26 April (MalaysiaAktif) – Minat terhadap seni warisan tradisional perlu dipupuk sejak usia awal bagi memastikan kelangsungannya dalam kalangan generasi muda.
Usaha tersebut dapat dilihat menerusi penyertaan 30 kanak-kanak berusia lima dan enam tahun yang memeriahkan Pertandingan Mewarna Batik sempena Festival Sastera dan Seni Kanak-Kanak Kedah 2026 yang berlangsung di City Plaza, di sini semalam.
Program anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah (PPAK) itu bertujuan mencungkil bakat seni serta memperkenalkan kehalusan seni batik kepada generasi cilik.
Menurut guru prasekolah dari Sekolah Kebangsaan Sungai Korok Lama, Fauziah Hanafi, penganjuran program seperti ini amat dialu-alukan dan wajar diteruskan.
“Ini merupakan antara pendekatan berkesan untuk memperkenalkan murid prasekolah kepada suasana pertandingan di luar sekolah. Pendedahan awal seperti ini membantu membina keyakinan diri selain merangsang perkembangan motor halus serta kreativiti melalui seni batik,” katanya kepada Malaysia Aktif.
Selain pertandingan mewarna yang menjadi tarikan utama, festival tersebut turut dimeriahkan dengan pelbagai gerai jualan buku yang menawarkan bahan bacaan berkualiti kepada pengunjung.
Inisiatif PPAK menyelitkan elemen jualan buku dalam festival berteraskan seni dan sastera ini dilihat sebagai langkah serampang dua mata dalam memupuk kecintaan terhadap seni warisan di samping menyemarakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat, khususnya kanak-kanak.
-AA-





