
Laporan/foto: Nik Fatin Nik Hasri (Terengganu)
KUALA TERENGGANU, 11 April (MalaysiaAktif) – Program komuniti di Ladang Gemilang berjaya menarik penyertaan pelbagai lapisan masyarakat menerusi penganjuran aktiviti berjalan kaki sejauh 10,000 langkah sebagai usaha memperkasa gaya hidup sihat.

Ketua Komuniti MADANI Ladang Gemilang (baju kuning) berkata program seumpama ini memberi impak positif terhadap kesejahteraan penduduk
Inisiatif anjuran komuniti setempat itu menerima sambutan menggalakkan, khususnya dalam kalangan penduduk yang komited untuk kekal aktif, sekali gus bukan sahaja menggalakkan kecergasan fizikal tetapi turut menjadi platform interaksi sosial serta mengeratkan hubungan dalam komuniti.
Ketua Komuniti MADANI Ladang Gemilang, Wan Amal Firdaus Wan Muhamad berkata program seumpama ini memberi impak positif terhadap kesejahteraan penduduk.
“Program ini bukan sahaja membantu meningkatkan tahap kesihatan komuniti, malah menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk,” katanya ketika ditemui di perkarangan Pangsapuri Ladang Gemilang, di sini semalam.
Menurut beliau, program berbentuk kesihatan wajar diteruskan secara berkala bagi memastikan kesedaran terhadap penjagaan kesihatan sentiasa dipupuk dalam kalangan masyarakat.
Selain itu, program turut diserikan dengan perkhidmatan pemeriksaan saringan kesihatan percuma serta khidmat nasihat kesihatan oleh petugas berkaitan.
-AA-





